Thursday, April 13, 2006

hidup 2

.
.
.
Satu Cerita dengan Anak terhenti.

Kawan aku kehilangan seorang anaknya yang masih kecil. Anaknya menderita leukimia selama hayat kecilnya yang hanya 3 tahun. Anak yang kecil itu belum sempat belajar berlari, bertutur dengan sebetulnya, dan belum sempat berbuat apa yang anak-anak seusianya dapat buat. Selama hampir setahun, aku melihat usaha Ayahnya untuk memastikan supaya anaknya dapat terus membesar. Supaya Cerita dengan Anaknya tidak terhenti. Dan kadang aku terdengar bagaimana terganggunya kehidupan dia yang lain semata-mata kerana penumpuannya kepada usahanya itu. Namun, akhirnya dia tidak berhasil. Kerana Yang Maha Kuasa lebih menghendakinya begitu.

Di sebalik semua itu, aku tidak melihat penderitaan. Aku tidak melihat kesedihan. Aku hanya mahu melihat kegigihan. Aku hanya mahu melihat pengorbanan. Dan, aku hanya melihat kasih-sayang. Aku juga insaf. Aku berdoa alangkah indahnya sekiranya anak-anak kecil tidak harus disemadikan oleh Ayahnya. Sebaliknya, anak-anaklah yang patut menyemadikan mereka yang lebih tua. Supaya Cerita yang dijalin dapat disambung panjang-panjang dengan pengajaran-pengajarannya. Namun demikian kita hanyalah boleh berharap dan berdoa. Dialah yang menentukan segalanya.

Dan, tat-kala Ayah itu menidurkan anaknya buat kali terakhir, aku melihat seolah dia menutup cerita dengan anaknya. Cerita yang singkat namun tetap penuh dengan pengajaran tentang kasih-sayang; kepada semua.


p/s..Aku hanya menulis untuk anak-anak aku. Aku harap bila mereka sudah
dewasa dan dapat membaca, mereka dapat menghayati semula
pengalaman mereka semasa membesar. Dan dari itu,
akan sentiasa ingat sejarah dan asal usul mereka. Aku minat sejarah dan
aku sangat hormati sejarah.
Aku inginkan mereka juga demikian.

No comments: