Thursday, December 13, 2007

diam seekor Cicak

.

Aku masih melekat di situ. Siling putih yang menjadi langit hidup aku.
Langit yang bersih. Langit yang penuh dengan garis-garis pedih.

Aku bukannya tak mahu bebas melangkah meneroka setiap penjuru ruang,
cuma itu sahaja had batasan termampu. Aku diam di satu sudut
paling istimewa bagiku. Dari sudut itu, aku mampu melihat pemandangan
empat penjuru dan empat tembok bisu. Dari sudut itu aku mampu melihat
kehidupan kalian yang pantas berlalu tanpa perlu menunggu kehadiran aku.

(Dari sudut itu aku tak mampu melihat apa-apa sebenarnya, cuma mata fikirku memandang setiap kejadian dengan penuh pengamatan dan rasa).

Aku punyai visi dan punyai mimpi seperti hidupan-hidupan lain ciptaan Ilahi.
Mungkin di sini aku akan mati tanpa disedari oleh mana-mana insani
atau mungkin aku akan merangkak bebas suatu hari nanti dengan harga diri.
Dengan perjuangan yang masih berapi. Perjuangan yang banyak intepretasi.

Seperti yang kalian tahu, aku punya satu anugerah yang tidak
dikurniakan pada mana-mana hidupan di dunia ini.
Aku mampu menanggalkan ekorku tatkala musuh mengejarku.
Itu pastinya sesuatu yang akan mengelirukan baik kepada musuh
atau rakan-rakanku sendiri. Bila dan di mana aku akan menanggalkan ekorku,
hanya aku yang pasti.

Siapa lawan dan siapa kawan? Satu pencarian yang tiada hujung jawapan.
Hari ini, sang labah-labah mungkin menjadi sahabatku, entah esok dialah seteru yang melancarkan peluru ke dadaku. Semalam sudah berlalu,
esok lusa tiada siapa yang tahu.

Apa yang pasti, aku tak mahu anak-anak cicakku keliru nanti sebagaimana
kelirunya dunia ini. Anak-anak kecil dipanggang dan disembelih
di sekolah hanya untuk menyuarakan isi hati kepada sebuah negara
yang ditadbir oleh pemerintah kuku besi.

Jadi,

Siapa penjahat dan siapa pahlawan yang terhebat?
Jangan disoalkan kepada aku,
aku hanya seekor cicak yang melekat di dinding penuh karat.

Diam seekor cicak, diam yang penuh misteri..



~belalang- diam yang menyimpan seribu teka-teki
.

No comments: